suria

Polis nafi anggotanya terlibat kes culik pengusaha restoran

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menafikan anggotanya terlibat dalam satu kes penculikan seorang pengusaha restoran pada Jumaat lepas.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa siasatan awal mendapati suspek yang terlibat dalam kes itu menyamar dan berlagak seperti anggota polis.

"Saya menafikan polis terlibat dalam kes ini," katanya apabila ditanya mengenai dakwaan seorang wanita hari ini bahawa suaminya yang berumur 40 tahun telah dilarikan oleh empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis pada Jumaat lepas.

Surirumah itu mendakwa empat lelaki itu turut menggunakan kekerasan dengan memukul suaminya sebelum menahan dan menggarinya dan melarikannya dengan sebuah kereta.

Wanita itu memberitahu pemberita di sini bahawa kejadian itu berlaku di hadapan beliau dan empat orang anaknya berhampiran rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras pada pukul 6.30 petang Jumaat lepas.

Sebaik kejadian itu, wanita itu berkata beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kajang dan sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai suaminya.

Hasnan berkata polis masih menjalankan siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain