suria

Tidak ada kes tertangguh, jumlah kes dikurangkan

KUALA LUMPUR: Jumlah hakim dijangka berkurangan setelah empat sistem elektronik di mahkamah dilaksanakan sepenuhnya yang bertujuan mempercepatkan penyelesaian kes tertangguh, kata Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata sistem elektronik itu yang membabitkan e-filing, sistem pengurusan mahkamah (CMS), transkripsi rakaman mahkamah (CRT) dan sistem pengurusan ikut giliran (QMs), dijangka membantu hakim-hakim mempercepatkan pengendalian kes antara tiga dan empat kali lebih cepat berbanding dengan sistem sekarang.

Keempat-empat sistem elektronik itu yang berharga RM69 juta mula dilaksanakan di semua 166 mahkamah di Kuala Lumpur, dan dijangka digunakan di mahkamah Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Baharu pada akhir tahun ini, sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mahkamah-mahkamah komersial baru (NCC) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Menurutnya dengan sistem baru itu, kes sivil dan komersial yang difailkan hari ini boleh diselesaikan dengan lebih cepat, sementara hakim-hakim yang telah mengendalikan kes lama akan dipindahkan untuk mengendalikan kes baru.

"Apabila kes tertangguh kita telah selesaikan, kita tidak boleh meningkatkan jumlah (hakim-hakim). Ia sangat mahal. Gaji hakim dan kosnya bukan murah. Saya jangka kos hakim sahaja kira-kira RM50,000 termasuk kereta, campur setiausaha, pejabat, mungkin mencecah RM60,000 hingga RM70,000," kata beliau. Beliau berkata kini terdapat 133 hakim di negara, meliputi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi termasuk Pesuruhjaya Kehakiman.

Zaki berkata di bawah empat sistem elektronik, e-filing mampu mengendalikan kes-kes yang difailkan, sementara CMS lebih pada kes berjadual, pengurusan kes, pengurusan perbicaraan, pengurusan pertanyaan dan fungsi lain pentadbiran mahkamah.

Di bawah CMS, orang awam dan peguam boleh membuat pemeriksaan secara dalam talian dan QMS pula, mahkamah boleh mendapatkan kes tersebut melalui khidmat pesanan ringkas kepada peguam berkenaan.

Sementara itu di bawah CRT, ia menyediakan rakaman elektronik testimoni saksi tanpa hakim terpaksa menulisnya, dengan ini dapatlah membantu mengurangkan masa yang diambil untuk hakim menulis testimoni, khasnya kes jenayah.

Menurutnya hakim yang mengendalikan kes jenayah akan hanya mendengar keterangan dan mereka dapat menjimatkan masa mahkamah serta juga saksi.

"Dengan CRT, saya juga akan memantau prosiding di mahkamah dari pejabat saya di Putrajaya. Tidak ada sesiapa boleh menafikan apa sahaja yang anda telah katakan kerana ia dirakamkan. Jika peguam mahu CRT, mereka boleh minta mahkamah membekalkannya (kepada mereka) setelah prosiding itu," kata beliau. Mengenai dua mahkamah komersial itu, Zaki berkata mahkamah itu mensasarkan untuk menyelesaikan kes-kes pengurusan secepat mungkin setelah ia difailkan bagi mengurangkan tempoh menunggu dan menetapkan tarikh awal perbicaraan.

Beliau berkata kedua-dua mahkamah ini akan mengendalikan semua kes komersial, tetapi ia tidak akan mengendalikan kes muamalat dan harta intelek dan hakim yang mengendalikan mahkamah komersial ialah Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Anantham Kasinater.

Sebelum ini, peguam perlu memfailkan kes tersebut melalui salinan atau dokumen asal, tetapi kini kes itu boleh difailkan secara elektronik menggunakan salinan perisian melalui pendrive, tambah beliau.

Zaki berkata mahkamah boleh menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa dua bulan dari tarikh ia difailkan, dan jika salah satu pihak belum bersedia, kes itu akan dipanggil semula dan jika perlu, mahkamah membatalkan kes tersebut.

"Dalam kes perbicaraan penuh, jika semua pihak bersedia, tarikh perbicaraan akan diberikan sebulan dan kes itu akan diselesaikan dalam masa sembilan bulan. Zaki semasa mengadakan lawatan itu diberi taklimat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Komersial Hamidah Mohd Deril mengenai pelaksanaan sistem baru tersebut.

Turut hadir ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Raus Md Shariff.

Sementara itu presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan ketika ditanya mengenai NCC, berkata Majlis Peguam mengalungalukan mahkamah baru itu kerana ia akan mempercepatkan penyelesaian kes. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain