suria

Anggota PGA maut dalam kemalangan dengan bas ekspres

GERIK: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Km 10 Jalan Gerik-Kupang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Mahad Nor Abdullah berkata dalam kemalangan pada 2 petang itu, Khairul Amiza Abdullah, 26, yang berasal dari Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau memberitahu pemberita di sini, dua daripada 40 penumpang serta seorang pemandu gantian yang menaiki bas itu hanya cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di hospital tersebut.

Katanya kejadian itu berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Khairul Amiza dalam perjalanan dari Alor Setar ke sini dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi gagal lalu bertembung dengan bas tersebut yang datang dari arah bertentangan.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Gerik dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke Hospital Gerik.

Semua penumpang yang terselamat kemudian meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki bas gantian.

Bas Ekspres Shamissa itu dalam perjalanan dari Gerik ke Kelantan apabila kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat, katanya.

Sementara itu, 12 buah kenderaan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Gopeng, pada 4.30 petang semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamani yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang turut terbabit dalam kemalangan itu tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata semasa kejadian hujan lebat dan kesemua kereta terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Tiada pemandu atau penumpang yang cedera dalam kemalangan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain