suria

Agong sertai majlis berbuka puasa dan kesyukuran sempena kemerdekaan di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan menghadiri majlis berbuka puasa dan kesyukuran merdeka sempena kemerdekaan negara ke-52 di Masjid Negara.

Turut mengiringi baginda ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada orang kenamaan, menteri kabinet dan rakyat jelata itu dimulakan dengan berbuka puasa diikuti solat Maghrib serta solat sunat tarawih dan diakhiri dengan bacaan doa selamat yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Majlis kesyukuran merdeka itu turut dilakukan oleh semua empat agama utama di Malaysia iaitu Islam, Kristian, Buddha dan Hindu bagi menggantikan upacara sambutan ambang kemerdekaan sebagaimana yang dilakukan tahuntahun sebelumnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat bersama kirakira 300 penganut agama Buddha turut melakukan upacara majlis kesyukuran itu di Wisma Buddhist, Jalan Klang Lama di sini.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Ong yang juga Presiden MCA berkata, perpaduan bukan hanya pada permukaan sahaja malah ia merupakan satu pegangan yang harus diselami oleh semua penganut agama di negara ini.

Pagi semalam, majlis kesyukuran serupa turut diadakan penganut agama Kristian di Gereja St John Cathedral di Jalan Bukit Nanas di sini diikuti oleh penganut agama Hindu di Kuil Sri Ramalingeswaran, dekat Jalan Bangsar.

Majlis keagamaan yang diadakan secara sederhana itu dilihat bertepatan dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan perhimpunan dan rapat umum bagi mengekang penularan wabak Influenza A (H1N1).

Sambutan kemerdekaan tahun ini akan diadakan secara sederhana selama 40 minit di Dataran Parlimen hari ini dengan penglibatan kira-kira 8,600 peserta.

Sambutan secara sederhana itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira keadaan wabak Influenza A (H1N1) dan menghormati bulan Ramadan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain