suria

Tee Keat ke seluruh negara perjelas isu pemecatan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan melawat ke seluruh negara untuk menerangkan kepada pemimpin dan anggota akar umbi parti itu mengenai penyingkiran timbalannya Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, lawatan seperti itu telah dimulakan semalam, dua hari selepas Dr. Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan disingkirkan daripada parti tersebut.

"Beliau berada di Johor semalam dan Pulau Pinang esok, dan diikuti dengan negeri-negeri lain di mana Ong akan menerangkan kepada pemimpin dan anggota akar umbi mengenai keputusan yang diambil (oleh Majlis Presiden untuk menyingkirkan Dr Chua)," kata Wong kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat kira-kira tiga jam di Wisma MCA di sini semalam.

Mesyuarat tertutup itu dipanggil oleh Ong untuk memberikan taklimat kepada pengerusi MCA negeri mengenai penyingkiran Dr. Chua tersebut.

Ia dihadiri oleh kira-kira 100 pemimpin parti kebangsaan dan negeri termasuk pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun, Tan Sri Tee Hock Seng (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Yeow Chai Thiam (Negeri Sembilan), Datuk Wong Foon Meng (Selangor), Datuk Seri Liow Tiong Lai (Pulau Pinang) Datuk Seri Kong Cho Ha (Perak) dan ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.

Ong meninggalkan Wisma MCA sebaik sahaja mesyuarat itu tamat dan beliau enggan bercakap dengan media.

Dr. Chua disingkirkan daripada parti itu Rabu lepas setelah Majlis Presiden memperakukan cadangan Lembaga Disiplin untuk menyingkirkan beliau ekoran skandal video seksnya.

Sementara itu, Liow yang juga naib presiden MCA memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada pemimpin parti mengenai keputusan Majlis Presiden memperakukan cadangan Lembaga Disiplin untuk menyingkirkan Dr. Chua.

"Ia untuk menerangkan kepada pemimpin akar umbi kenapa keputusan itu dibuat.

"Kita akan ambil tindakan perlu bagi menerangkan kepada anggota parti kerana kita mahu mereka faham isu tersebut dengan jelas dan jangan terima sesetengah pandangan yang diputarbelit," katanya.

Liow bagaimanapun menafikan bahawa MCA dalam krisis, sambil menambah parti itu menghargai seruan Perdana Menteri agar masalah tersebut ditangani dengan segera.

"Ini bukan krisis parti. Parti itu bersatu dan kita akan gunakan kebijaksanaan kita untuk menangani masalah berkenaan secepat mungkin," tambah beliau.

Katanya, isu pengganti Dr. Chua juga tidak dibangkitkan semasa mesyuarat itu kerana "isu itu tidak timbul".

Dr. Chua yang kini sedang bercuti di luar negara mempunyai 14 hari dari tarikh 26 Ogos untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain