suria

Perak beri penghargaan kepada tokoh kemerdekaan

IPOH: Tiga tokoh kelahiran Perak yang memberi sumbangan besar kepada kemerdekaan negara menerima penghargaan daripada kerajaan negeri Perak hari ini sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52 esok.

Mereka ialah bekas Menteri Besar, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz; Presiden MIC yang kelima, Tun V.T Sambathan dan bekas Menteri Kesihatan yang kelima, Tan Sri Dr Lim Swee Aun.

Mereka dianugerahi Tokoh Kemerdekaan dan menerima medal khas, sijil dan wang tunai RM10,000.

Allahyarham Abdul Wahab diwakili anaknya, Robaayah, 70, sementara K. Veerasamy, 38, menerima bagi pihak bapa saudaranya mendiang Sambathan menerima anugerah tersebut.

Seorang wakil daripada MCA Bahagian Taiping mewakili mendiang Lim.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menganugerahkan pengiktirafan itu tahun ini selepas dimaklumkan ketiga-tiga tokoh berkenaan belum pernah diberi pengiktirafan yang sedemikian.

Beliau berkata, sudah sewajarnya tokoh-tokoh yang mewakili tiga kaum utama itu diberikan penghargaan agar generasi muda khususnya di Perak dapat menghargai dan mengenang sumbangan tokoh berkenaan kepada negara dan juga negeri Perak.

"Kita tidak mahu ada kalangan generasi muda yang sudah tidak tahu tentang sejarah, tentang pengorbanan besar yang dilakukan oleh mereka yang berjuang untuk memastikan keamanan dapat dipelihara dalam negara kita ini," katanya.

Beliau berkata, anugerah yang julung kali diwujudkan itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang oleh kerajaan negeri yang berhasrat memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang banyak memberi jasa kepada negeri Perak.

"Kita akan buat penilaian dan kita akan beri pengiktirafan itu dari tahun ke tahun kepada mereka yang banyak berjasa kepada negara kita dan negeri Perak termasuk dari kalangan Orang Asli, masyarakat Siam dan kaumkaum yang ada di negeri Perak," katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan negara ke-52, Zambry turut menyeru kepada semua pihak di dalam negeri Perak supaya memberi penilaian yang tinggi kepada erti kemerdekaan dan juga keamanan yang dikecapi sehingga kini.

"Tidak guna kalau negara atau negeri merdeka kalau rakyat hidup dalam keadaan huruhara. Kita sepatutnya menghargai dan berterima kasih dengan keamanan yang ada. Jangan sewenangwenangnya ambil mudah tentang erti keamanan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain