suria

Pemandu lori ditahan bawa mercun bernilai RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori ditahan dekat sini kerana membawa 256 kotak besar mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM200,000 yang dipercayai diseludup.

Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 pagi semalam di Lebuhraya Besraya dekat Serdang Lama ketika memandu sebuah lori bermuatan tiga tan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Melaka.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata kotak besar itu berisi kirakira 10,560 pek mercun dan bunga api pelbagai jenis seperti Dragon Eggs, mercun papan merah 88 dan Return Cake 49 Shots.

"Kita percaya lori itu dalam perjalanan ke Melaka dari utara dan mercun-mercun ini dipercayai untuk pasaran di Melaka sempena musim perayaan," katanya kepada pemberita di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menyiasat punca bekalan itu diperoleh dan tidak menolak kemungkinan ia dibawa masuk dari negara jiran.

Pemandu lori itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain