suria

Najib: Idris Jala angkat sumpah sebagai Senator minggu depan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Idris Jala yang dilantik menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Senator minggu depan.

"Beliau akan mengangkat sumpah waktu terdekat, kemungkinan minggu depan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pagi tadi.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan Idris sebagai menteri tanpa portfolio di JPM.

Beliau juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

Menurut Najib, pelantikan Idris sebagai anggota Kabinet dibuat berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam membawa transformasi ke atas syarikat penerbangan nasional MAS.

Najib berkata, rekod cemerlang Idris semasa menjadi CEO dan Pengarah Urusan MAS serta jawatan-jawatan lain yang dipegang sebelum itu membuktikan beliau seorang yang ideal untuk dilantik ke jawatan itu.

Najib berkata, kerajaan memerlukan seseorang seperti Idris dalam komitmen kerajaan melaksanakan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Kita punya komitmen pada pencapaian NKRA dan KPI pada keseluruhannya termasuk juga kementerian-kementerian.

"Jadi kita perlu kepada seseorang yang mempunyai pengalaman dan rekod prestasi dalam hal ini.

"Tidak ada orang yang mempunyai rekod prestasi yang baik dari segi kejayaan membuat transformasi kepada sebuah syarikat seperti MAS," kata beliau selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi Negara pertama di sini hari ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, Idris akan dapat menggunakan pengalamannya dan menyuarakan pandangan atas kapasiti seorang menteri.

Beliau berkata, Idris akan bekerjasama dengan Menteri di JPM yang bertanggungjawab mamantau KPI dan NKRA, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Mengenai pengganti Idris di MAS, Najib berkata, beliau tidak melihat akan ada masalah untuk memilih ketua baru syarikat itu.

Beliau menyerahkan kepada Lembaga Pengarah MAS untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar pertumbuhan ekonomi tahunan negara mesti meningkat kepada lapan peratus dalam masa 10 tahun jika mahu mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan yang kurang daripada itu akan melewatkan matlamat negara untuk mencapai status sebuah negara maju.

"Contohnya, pertumbuhan tahunan adalah pada kadar enam peratus, maknanya matlamat untuk mencapai status berpendapatan tinggi akan tertangguh semalam 10 tahun, kepada 2030 berbanding 2020," katanya.

Najib berkata, penyataan semula yang dikeluarkan Bank Dunia pada tahun 2008 dari segi pendapatan negara kasar menunjukkan Malaysia berada pada tangga 85 dengan pendapatan hampir AS$7,000.

Katanya, bagi Ekonomi Pendapatan Tinggi, Bank Dunia pada masa ini berada di ambang hampir AS$12,000 dan dengan unjuran kadar pertumbuhan berterusan, ia akan mencecah AS$17,000 menjelang 2020.

Selain itu katanya, usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju akan bergantung kepada dua kriteria.

"Yang pertama memerlukan pencapaian yang melebihi ambang untuk menjadi ekonomi berpendapatan lebih tinggi dan kedua, sebagai sebuah ekonomi maju, kita mestilah mencapai peningkatan prestasi indeks pembangunan manusia Dana Kewangan Antarabangsa (IMF)," katanya.

Artikel Lain