suria

MARA tawar insentif atau diskaun 30 peratus bayaran balik pinjaman

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menawarkan pemberian insentif atau diskaun 30 peratus bayaran balik pinjaman berkuatkuasa mulai 1 September hingga 31 Disember 2009.

Pengerusi MARA, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, pemberian insentif atau diskaun 30 peratus bayaran balik pinjaman MARA itu meliputi Pinjaman Perniagaan atau Pembiayaan (tidak termasuk pinjaman atau pembiayaan kontrak; Bekas Penyewa Premis Perniagaan atau Perusahaan; Pinjaman Mikrokomputer Pelajar; Pendahuluan Pinjaman Pelajaran; Pinjaman Pelajaran MARA yang Tidak Layak Mendapat Pengurangan Pinjaman Pelajaran MARA; Bekas Pelatih Institusi Pendidikan MARA dan Pinjaman Bekas Anggota MARA.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Kemerdekaan Kali ke-52 Peringkat Ibu Pejabat MARA di Bangunan Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Pemberian insentif (diskaun) sebanyak 30 peratus daripada baki semasa pinjaman/sewa/hutan diberikan kepada peminjam/bekas penyewa/penghutang yang membuat bayaran balik sekali gus, kecuali mereka yang telah atau sedang diambil tindakan undang-undang atau penguatkuasan oleh MARA atau diisytiharkan muflis oleh mana-mana pihak.

Pemberian insentif (diskaun) ini tidak termasuk kos guaman dan kos iklan nama penghutang yang disiarkan dalam akhbar.

Pemberian insentif ini kata Idris bertujuan bagi membolehkan MARA mengumpul dana lebih awal untuk membiayai program pinjaman perniagaan, pinjaman pelajaran serta perbelanjaan operasi premis perniagaan akan datang.

Tambah beliau, pada masa kini, peminjam yang ditawarkan di bawah Skim Pinjaman Boleh Ubah diberi kemudahan Pengurangan Pinjaman Pelajaran MARA berdasarkan keputusan Majlis MARA Bil. 66/2002 bertarikh 22 Ogos 2002 dan Bil. 86/2002 bertarikh 29 Oktober 2002 (Pindaan).

Bagaimanapun, katanya, terdapat peminjam pelajaran yang tidak layak diberi pengurangan pinjaman mengikut dasar tersebut dan pemberian insentif diperluaskan kepada peminjam seperti peminjam pelajaran di bawah bantuan pinjaman tidak boleh ubah yang ditawarkan sebelum 1 Januari 1985 dan peminjam pelajaran di peringkat Sarjana dan Ph.D yang ditawarkan mulai 1 Januari 1998 di bawah Skim Pinjaman Terbuka.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, peminjam pelajaran yang ditawarkan di peringkat persijilan, perlesenan, profesional dan separa profesional seperti peminjam pelajaran di bawah tajaan tahun akhir di luar negara, peminjam pelajaran di bawah tindakan MARA yang pecah kontrak dan peminjam pelajaran yang gagal dalam pengajian juga tidak akan diberi tawaran insentif tersebut.

Manakala bekas pelatih IPMa yang gagal dalam pengajian dan berhenti serta bekas anggota MARA (tidak termasuk pesara wajib atau pilihan) iaitu bagi Pinjaman atau Pembiayaan Perumahan, Pinjaman atau Pembiayaan Kenderaan dan Pinjaman atau Pembiayaan Mikrokomputer masih layak untuk menerima insentif ini.

Beliau menambah, pengesahan baki pinjaman, sewa dan hutang hendaklah dibuat sebelum penerimaan bayaran sekali gus daripada peminjam, bekas penyewa dan penghutang berkenaan.

Katanya lagi, peminjam, bekas penyewa dan penghutang boleh membuat permohonan dengan mengisi Borang Permohonan Pemberian Insentif (Diskaun) 30 peratus (BKK01) bagi Pinjaman, Pembiayaan Perniagaan dan Bekas Penyewa.

Borang BKK01 boleh diperolehi daripada Pejabat MARA Daerah, Pejabat MARA Negeri, Bahagian Kawalan Kredit (Ibu Pejabat MARA) dan Laman Web MARA.

Selain itu pemohon boleh juga mengisi Borang Permohonan Pemberian Insentif (Diskaun) 30 peratus (BKK02) bagi Pinjaman Mikrokomputer Pelajar, Pendahuluan Pinjaman Pelajaran, Pinjaman Pelajaran, Bekas Pelatih IPMa, Pinjaman Bekas Anggota MARA iaitu Pinjaman atau Pembiayaan Perumahan, Kenderaan dan Mikrokomputer.

Borang BKK02 boleh diperolehi daripada Pejabat MARA Daerah, Pejabat MARA Negeri, Bahagian Kawalan Kredit, Bahagian Unadng-Undang (Ibu Pejabat MARA) dan Laman Web MARA.

Bayaran balik sekali gus oleh peminjam, bekas penyewa dan penghutang hendaklah dibuat secara tunai atau cek bank (bankers cheque) dan deraf bank (bank draft) sahaja di kaunter bayaran Pejabat MARA Daerah, Pejabat MARA Negeri dan Bahagian Kawalan Kredit, Ibu Pejabat MARA.

Artikel Lain