suria

PGM Sandakan rampas 1,250 biji telur penyu

SANDAKAN: Polis Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya merampas 1,250 biji telur penyu yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam satu operasi di pesisir pantai Batu 7 dekat sini semalam.

Pegawai pemerintahnya ASP Muhammad Sallam Spawi berkata dalam operasi kira-kira pukul 9.35 malam itu, empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba menyeludup telur penyu itu turut berjaya ditangkap.

Katanya bot laju yang dinaiki empat PATI yang terdiri seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 12 hingga 61 tahun itu dipercayai masuk secara haram melalui pulau yang terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia dan Filipina.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot itu ditemui beberapa karung yang mengandungi telur penyu yang dipercayai diperolehi dari pulau-pulau berhampiran dengan sempadan di negara jiran itu," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Muhammad Sallam berkata PATI berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Beliau berkata telur penyu itu dijual secara haram di sini dengan harga RM1.20 hingga RM2 sebiji menyebabkan penyeludup dari negara jiran sanggup mengambil risiko untuk menyeludup masuk telur penyu.

Katanya usaha membanteras penyeludupan dan penjualan telur penyu secara haram di sini sukar dihentikan disebabkan terdapatnya permintaan tempatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain