suria

Penjual pakaian terpakai digantung edar kanabis

SHAH ALAM: Seorang penjual pakaian terpakai dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 4,300 gram, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu setelah berpuas hati tertuduh, Khairul Idzham Khairuddin, 37, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Saya tiada pilihan lain melainkan menjatuhkan satu-satunya hukuman iaitu hukuman mati. Oleh itu, tertuduh disabitkan dengan kesalahan dan dihukum gantung sampai mati," katanya.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail mengemukakan lapan saksi memberi keterangan sementara pembelaan memanggil empat saksi.

Khairul Idzham didapati bersalah melakukan kesalahan itu di No: 16, Lorong AU 3/3A, Hulu Klang, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 4.45 pagi, 23 Feb 2004.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain