suria

Empat beradik ditahan miliki dadah

ALOR SETAR: Empat adik beradik, seorang daripadanya merupakan pelajar politeknik ditahan di sekitar Kulim dan Sungai Petani pada Rabu malam.

Turut dirampas daripada mereka ialah dadah seberat 4.15 kilogram bernilai RM108,000, kereta, sejumlah wang tunai serta beberapa senjata merbahaya seperti parang dan pisau.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata polis pada mulanya menahan seorang lelaki berumur 31 tahun di perkarangan sebuah hotel di Sungai Petani kira-kira 9 malam.

Polis menemui sembilan paket dipercayai heroin yang disorokkan di bahagian bawah tempat duduk belakang kereta suspek.

"Ekoran penahanan itu, tiga lagi lelaki yang berusia antara 19 hingga 28 tahun turut ditahan. Dua ditahan di sebuah rumah di Lunas, Kulim, manakala seorang lagi ditahan di kawasan sekitar.

"Polis turut merampas dua buah kereta jenis Waja dan wang tunai berjumlah RM1,562 di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini , Khamis.

Asri berkata mereka yang ditahan itu merupakan adik beradik.

Beliau berkata para suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah sejak setahun lalu dan merupakan pengedar di sekitar Sungai Petani, Kulim dan kawasan berhampiran sempadan Kedah-Pulau Pinang.

"Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada pasaran Pulau Pinang," katanya.

Asri berkata keempat-empat yang ditahan itu kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain