suria

Polis Kelantan tumpaskan kumpulan curi kereta

KOTA BAHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan "Mat Connect" yang aktif mencuri kereta di sekitar Pasir Mas dan di sini dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu semalam di sebuah rumah di Kampung Kok Lanas di sini, ketika penjenayah itu sedang tidur bersama teman wanitanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pukul 10.30 pagi sebaik menerima maklumat orang ramai bahawa lelaki yang dikehendaki polis berada di rumah itu.

"Kita rampas pelbagai peralatan mencuri kereta, termasuk skru driver, kunci kereta, master key, besi kikir dan tombo kunci di dalam sebuah beg yang berada di dalam sebuah kereta curi berdekatan rumahnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mazlan berkata sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu turut dirampas dari pasangan itu yang dilaporkan hilang dua hari lepas berdekatan Hotel Temenggong di sini.

"Teman wanitanya berusia 23 tahun berasal dari Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh turut ditahan bagi membantu siasatan polis," katanya.

Berikutan kejayaan itu, beliau berkata polis kini memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai Shamsul Bahari Awang Noh, 36, berasal dari Kampung Padang Luas Jertih, Terengganu dipercayai rakan kongsi kepada suspek terbabit.

Beliau berkata Shamsul Bahari atau "Hassan Budu" mempunyai rambut kerinting dan berbadan gempal dipercayai anggota kanan kumpulan itu berdasarkan kepada maklumat awal yang diterima dari siasatan polis.

"Kita minta orang ramai yang mengenali Shamsul Bahari atau "Hassan Budu" menghubungi balai polis berdekatan dengan segera untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum tujuh tahun.

Mazlan berkata sejak 1 Ogos lepas hingga semalam sebanyak 38 kes kecurian kereta diterima termasuk tiga kenderaan pacuan empat roda. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPP tahan 6 lelaki Myanmar

Artikel Berikut

Artikel Lain