suria

SPRM bukan bahan mainan politik - Najib

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dijadikan mainan politik dan sentimen ekoran beberapa pihak cuba mempertikaikan kredibilitinya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata orang ramai tidak boleh menunding jari kepada SPRM sematamata berdasarkan satu kes melibatkan kematian setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock.

"Kita tidak boleh cepat salahkan SPRM. Kita tak boleh jadikan SPRM mainan politik, sentimen," kata Najib yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan di sini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas terdapat beberapa pihak cuba mempertikaikan kredibiliti SPRM ekoran kematian Teoh serta insiden SPRM diugut termasuk ugutan bunuh terhadap beberapa pegawai kanannya serta sebuah kenderaannya dibaling dengan molotov cocktail di Klang minggu lepas.

Beliau berkata kerajaan masih yakin dengan kewibawaan SPRM kerana ia merupakan badan penting untuk memerangi gejala rasuah dan memastikan urus tadbir negara berjalan dengan baik.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu selepas beliau dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri di pejabat SRPM yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Najib berkata kes kematian Teoh bukanlah sesuatu yang dikehendaki oleh SPRM tetapi ia telah menimbulkan soal kredibiliti SPRM.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata orang ramai tidak boleh cepat menyalahkan SPRM.

Kerajaan, katanya, sudah memulakan inkues bagi menyiasat kematian Teoh dan selepas itu Suruhanjaya Diraja juga akan ditubuhkan bagi meneliti prosedur penyiasatan SPRM.

"Jika terdapat soal civil liberty (kebebasan sivil), kerajaan akan buat langkah-langkah pembetulan. Kita telus. Kerajaan tidak ada niat nak tutup mana-mana (fakta)," katanya.BERNAMA

Artikel Lain