suria

Sekat kuasa SPRM: Pekeliling kerajaan Selangor dicabar di mahkamah hari ini

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar semakan kehakiman mengenai permohonan Peguam Negara hari ini bagi mengisytiharkan satu pekeliling kerajaan negeri Selangor yang melarang pegawai negeri memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas waktu pejabat, sebagai tidak sah dan terbatal.

Sekretariat Media pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan semalam berkata peguam kanan terkenal Tommy Thomas akan mewakili kerajaan negeri dalam perbicaraan itu.

Pekeliling itu, yang menyebut bahawa pegawai kerajaan negeri hanya boleh disoal oleh SPRM di premis pejabat masingmasing dan semasa waktu bekerja, telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Datuk Ramli Mahmud pada 28 Julai berikutan kematian Teoh Beng Hock.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang akhbar bersama berkata pekeliling itu adalah tidak sah dan boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk menghalang pegawai SPRM daripada menjalankan tugas mereka.

"Tiada Pekeliling dari manamana kerajaan negeri boleh menghalang SPRM daripada menjalankan siasatan mereka. Saya rasa ini satu cubaan Khalid (Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk menghalang pegawai SPRM melaksanakan tugas mereka," Mohamed Nazri dipetik sebagai berkata.

Kenyataan itu juga berkata Abdul Gani telah memfailkan semakan kehakiman pada 20 Ogos untuk mengisytiharkan bahawa pekeliling itu sebagai tidak sah dan terbatal.

Baru-baru ini, Khalid berkata pekeliling itu dikeluarkan berikutan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat exco negeri pada 22 Julai. BERNAMA

Artikel Lain