suria

Perhilitan rampas haiwan dan bahagian anggota haiwan cuba diseludup

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas beberapa haiwan dan bahagian anggota haiwan liar yang dilindungi dalam tiga operasi berasingan sejak 11 Ogos lepas.

Pengarah Perundangan dan Penguatkuasaan Perhilitan, Saharudin Anan berkata pada 11 Ogos, pegawai jabatan itu merampas sepasang tangan dan kaki beruang Malaya dalam satu serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Kemaman, Terengganu.

"Kita menemui sepasang tangan dan kaki beruang disimpan dalam bilik sejuk beku di bahagian stor premis itu. Siasatan awal mendapati beruang terbabit ditangkap dari kawasan hutan berhampiran untuk dijadikan sebagai bahan makanan seperti sup (beruang)," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam operasi kedua pada 13 Ogos, satu serbuan telah dibuat ke atas sebuah kediaman di Triang, Pahang di mana pegawai jabatan itu menemui sebatang gigi gajah yang dijadikan sebagai barang perhiasan di ruang tamu rumah itu.

"Barang itu telah dirampas kerana ia adalah daripada spesis yang dilindungi," katanya.

Dalam operasi ketiga pada 18 Ogos pula, Perhilitan berjaya merampas enam ekor burung Kuak, tiga ekor burung bangau Painted Stork, dua ekor burung punai daun, dua ekor ular sawa serta dua ekor biawak air dalam satu serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Seri Kembangan, Selangor.

"Ketika ditemui haiwanhaiwan ini dikurung di dalam sangkar berasingan dan dijadikan sebagai pameran," kata Saharudin. Kesemua haiwan itu masih hidup.

Shaharudin berkata tiada tangkapan dibuat dalam ketigatiga serbuan tersebut dan kesemua kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Sementara itu, beliau berkata Perhilitan bakal membuka tiga lagi posnya di kawasan utara dalam tempoh terdekat bagi mengekang kes penyeludupan haiwan yang dilindungi dari negara ini.

"Setakat ini Perhilitan mempunyai 13 pos di seluruh negara. Tiga lagi pos akan ditambah dan akan ditempatkan di pintu keluarmasuk negara di kawasan utara bagi membendung keskes penyeludupan haiwan," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain