suria

Penjelasan rayuan Kayveas didengar 8 September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Sept untuk mendengar penjelasan lanjut mengenai perkara undang-undang dalam rayuan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas dan isterinya berhubung keputusan Lembaga Disiplin Majlis Peguam yang mendenda mereka kerana salah laku.

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Manteri dan isterinya, Datin Blanche O'Leary, yang juga seorang peguam, diperintahkan membayar denda RM5,000 setiap seorang oleh majlis itu pada 17 Mac 2005, kerana salah laku mengkhianati amanah sebagai pemegang kepentingan.

Majlis itu mengeluarkan perintah itu selepas mempertimbangkan laporan yang dilakukan Jawatankuasa Disiplin.

Mereka diperintahkan membayar denda itu kepada tabung disiplin dalam tempoh sebulan selepas perintah itu, dan jika gagal mereka akan digantung daripada amalan guaman sebagai peguam bela dan peguam cara sehingga bayaran denda itu dilunaskan.

Mereka merupakan peguam cara bagi Avacado Corporation, yang melakukan transaksi jual beli hartanah bernilai RM2 juta dengan Jordone Corporation.

Kayveas dan isterinya didakwa menerima wang mengikut perjanjian jual beli sebagai pemegang kepentingan tetapi tidak mengeluarkannya mengikut terma yang ditentukan dalam perjanjian berkenaan.

Semasa memohon mahkamah membenarkan rayuan mereka, mereka mendakwa, antara lain bahawa lembaga disiplin melakukan kekhilafan undang-undang dan hakikatnya telah membuat keputusan berhubung isu yang silap.

Kedua-dua mereka berkata lembaga itu tidak mengambil kira akan maklum balas terhadap penghujahan pengadu, Majlis Peguam, dan hasilnya keputusan itu tiada dalam undang-undang.

Mereka juga mendakwa bahawa lembaga membuat kekhilafan undang-undang kerana memutuskan salah laku sebagaimana yang didefinisikan dalam Seksyen 94(3)(0)Akta Penjawat Undang-undang 1976, tidak memerlukan elemen ketidakjujuran, penipuan, memperdaya atau niat jenayah.

Pasangan itu diwakili peguam M. Puravelan manakala majlis diwakili peguam Rabindra Nathan dan Allister Tan. BERNAMA

Artikel Lain