suria

Peniaga didakwa buat pernyataan palsu sumbang RM200 juta

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap tuduhan membuat pernyataan palsu berkaitan sumbangan kewangan berjumlah RM200 juta bagi penubuhan sebuah yayasan kebajikan.

Anuar Abd Aziz, 55, didakwa membuat pernyataan palsu itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan akujanji sumbangan kewangan berjumlah RM200 juta dalam surat bertarikh 20 Julai 2007.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di SSM, Tingkat 2, 1018, Putra Place, 100 Jalan Putra di sini pada 28 November 2006 dan 26 Nov 2007.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa di bawah Seksyen 364 (2) Akta Syarikat (Akta 125) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM250,000 atau keduaduanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa dari SSM Mohd Zulkhairi Kamaruzaman mencadangkan supaya hakim mengenakan ikat jamin RM500,000 terhadap Anuar dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sekali dalam sebulan di Balai Polis Travers.

Bagaimanapun, peguambela Anuar, J.Kuldeep Kumar memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM150,000 kerana anak guamnya hanya mempunyai wang sebanyak itu.

Kuldeep berkata anak guamnya yang ditahan pukul 11 pagi tadi di Lapangan Antarabangsa KL ketika hendak ke Hong Kong, kini tertekan kerana tidak tahu bahawa dia dikehendaki pihak SSM.

Hakim Asmadi Hussin kemudian menetapkan Anuar diikat jamin RM150,000 dan dimestikan melaporkan diri ke Balai Polis Travers sekali dalam sebulan.

Kes ditetapkan 28 Oktober untuk sebutan semula. BERNAMA

Artikel Lain