suria

Kes tuntutan mutaah RM3juta ditangguh 3 Disember

KOTA BAHARU: Perbicaraan kes tuntutan mutaah RM3 juta yang dikemukakan bekas isteri kedua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor (PAs), Wan Ismail Wan Jusoh, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini ditangguhkan 3 Dis kerana Hakim Syarie Abdullah Man berkursus di Kuala Lumpur.

Peguam Syarie Mohd Sibri Ismail, yang mewakili bekas isteri Adun itu, Siti Aishah Chou Abdullah, berkata perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung hari ini setelah ianya ditangguhkan 29 Julai lepas akibat masalah kerosakan pendingin hawa di bangunan mahkamah.

Siti Aishah tiba di Mahkamah Tinggi jam 11 pagi bersama keluarganya menerima surat penangguhan itu oleh pegawai pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah.

Siti Aishah, 24, berketurunan Cina Kemboja dan Wan Ismail,54, yang berkahwin di Kuala Lumpur pada 1 November 2004 memiliki dua anak sebelum disahkan bercerai pada 18 November tahun lepas.

Berdasarkan tuntutan yang difailkan pada 4 Januari lalu, Siti Aishah yang beralamat di Taman Tengku Ahmad Panglima, Wakaf Mek Zainab di sini, memohon mahkamah memerintahkan defendan membayar mutaah itu sebagai pampasan perceraian bagi kebajikan plaintif dan dua anak mereka, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002. BERNAMA

Artikel Lain