suria

DJ dipenjara tujuh tahun kerana sebabkan kematian teman wanita

KUALA LUMPUR: Seorang DJ kelab malam, R.Vivekanathan, dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian teman wanitanya tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas Vivekanathan, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap, 21 Mei 2006.

Vivekanathan didakwa menyebabkan kematian Suria Affandy @ Muniandy, 32, di rumah No. 191M, Tingkat 15, Bangunan Choo Cheng Kay, di sini antara pukul 9 malam dan 10.49 malam, 17 Mei 2006.

Sebelum ini, Vivekanathan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, bagaimanapun hari ini pihak pendakwaan meminda pertuduhan itu kepada Seksyen 304 (b) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau keduaduanya.

Kes itu mula dibicarakan pada akhir April lalu dan seramai tiga saksi telah dipanggil memberi keterangan. Pertuduhan terhadap Vivekanathan pula dibacakan pada 1 Jun 2006.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Vivekanathan diwakili peguam Andrew Lourdes. BERNAMA

Artikel Lain