suria

Samy Vellu: MIC adalah mengenai masa depan kaum India

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan bahawa pemilihan parti pada 12 Sept ini bukanlah mengenai individu tetapi tentang masa depan MIC dan masyarakat India.

Beliau berkata 2009 merupakan tahun amat penting bagi MIC kerana anggota perwakilan parti akan memilih pemimpin mereka yang telah menunjukkan kewibawaan serta menggerakkan parti ke hadapan dan bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya mewujudkan satu pasukan yang boleh bekerja dan berkhidmat bagi masyarakat India dan mengekalkan rasa hormat dan kerjasama Barisan Nasional dan kerajaan," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah hari ini.

Samy Vellu berkata beliau merestui penyandang jawatan timbalan presiden Datuk G. Palanivel untuk mempertahankan jawatannya berdasarkan keperibadian Palanivel, latar belakang dan pencapaian prestasinya dalam parti dan kerajaan.

Palanivel, yang memegang jawatan itu setelah menewaskan penyandangnya Datuk S. Subramaniam pada pemilihan MIC 2006, merupakan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008 bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Menyifatkan Palanivel sebagai seorang "pemimpin yang bersih", Samy Vellu berkata beliau telah melaksanakan tugasnya sebagai timbalan menteri dan timbalan presiden dengan berkesan tanpa memerlukan publisiti.

"Palanivel bekerja sebagai seorang anggota pasukan dan beliau membantu menggubal banyak dasar dan programprogram untuk parti," katanya, dan menambah kata bahawa Palanivel juga "seorang yang tegas dan praktikal."

Beliau berkata Palanivel mempunyai hubungan kerja yang baik dengan pemimpinpemimpin parti komponen Barisan Nasional.

"Semua ini merupakan kualiti yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik," katanya.

Samy Vellu berkata beliau juga merestui Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan bagi tiga jawatan naib presiden kerana mereka merupakan Anggota Parlimen dan wakil parti di dalam kerajaan.

"Mereka mesti diberikan mandat oleh parti untuk bercakap kepada kerajaan bagi pihak kaum India dan MIC. Mereka tidak akan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan jika MIC sendiri dilihat tidak menyokong mereka," kata Samy Vellu.

Menegaskan bahawa Dr Subramaniam merupakan satusatunya wakil kaum India di dalam Kabinet, beliau berkata menerusi mandat anggota perwakilan, suaranya di dalam Kabinet akan lebih dihormati dan didengar.

"Begitu juga dengan Devamany dan Saravanan yang perlu mendapat sokongan padu MIC untuk mereka melaksanakan tugas dengan lebih baik. Dr Subramaniam, Devamany dan Saravanan meupakan wakil rakyat kita dalam parti bagi melaksanakan tugastugas kerajaan," katanya.

Mengenai 27 anggota bagi 23 jawatan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Samy Vellu berkata senarainya terdiri daripada gabungan semua peringkat umur dan kumpulan dalam masyarakat India iaitu Malayali, Telegu dan Sikh.

"Saya mahu CWC mewakili semua keturunan dalam kaum India bagi mengelakkan parti ini daripada dilabelkan hanya mewakili satu kumpulan masyarakat (Tamil)," katanya.

Mengenai kesediaan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam mengadakan debat terbuka dengan beliau, Samy Vellu berkata beliau sedia menemui Subramaniam dan akan menetapkan tempat dan masanya.

"Saya sedia menemui beliau untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perwatakannya dan bagaimana beliau gagal sebagai seorang timbalan presiden," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain