suria

Mayat wanita ditemui dalam kolam takungan banjir

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita dengan kesan luka di dahi ditemui terapung di sebuah kolam takungan banjir di Jalan Ayer Keroh, Setapak, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat wanita yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40an itu ditemui pada kirakira pukul 3.15 petang oleh orang awam yang ingin memancing di kolam itu.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat wanita itu, tetapi polis percaya dia adalah penduduk di sekitar kawasan itu.

Memandangkan terdapat kesan luka yang mencurigakan di dahi wanita itu, polis akan siasat punca kematiannya, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya wanita yang memakai baju berwarna biru dan skirt ungu itu telah mati kirakira 24 jam yang lepas.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain