suria

Jangan hanya tumpu pada peperiksaan, kata TPM

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengingatkan pelajar supaya tidak hanya menumpukan kepada peperiksaan, sebaliknya turut melibatkan diri dalam aktiviti seperti kokurikulum dan sukan.

"Walaupun kita menitikberatkan soal peperiksaan, kita kena tahu juga ilmu pengetahuan lain bagi memastikan kita cemerlang dalam semua bidang," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, ketika berucap selepas majlis bacaan Yasin, Tahlil dan Solat Hajat untuk pelajar sekolah di sekitar Permatang Pasir di Masjid Permatang Janggus di sini.

Majlis itu diadakan untuk pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Muhyiddin turut mengingatkan masyarakat terutamanya ibu bapa bahawa mereka memainkan peranan penting dalam pendidikan pelajar.

"Ini penting, kalau nak tengok anak-anak kita berjaya, kita perlu sokongan masyarakat. Jangan biarkan anak-anak kita terpengaruh dengan gejala tidak baik sehingga memberi masalah kepada masyarakat," katanya.

Selepas majlis itu, Muhyiddin berbuka puasa bersama rakyat di masjid itu dan seterusnya menunaikan Solat Maghrib. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain