suria

Isu ADUN Kota Siputeh tidak pernah berlaku di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta mengosongkan kerusinya apabila dua kali berturut-turut tidak hadir persidangan Dewan Undangan Negeri tidak pernah berlaku di Dewan Rakyat, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata anggota Dewan Rakyat perlu menulis surat kepada setiausaha dewan dan menyatakan sebab sekiranya tidak dapat hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

"Tak mungkin berlaku perkara sebegitu di sini (Dewan Rakyat), setahu saya memang tak pernah berlaku kerana wakilwakil rakyat tahu apabila mereka tak dapat hadir satu sesi dia akan tulis surat, itu peraturan mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pengerusi Dewan Undangan Wilayah Osaka, Hidemi Asakura, Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia Tahir Karimov dan Duta Besar Belgium ke Malaysia Dr Frank Van De Craen, di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail yang memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kegagalan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional, menghadiri sidang tersebut selama dua kali berturutturut tanpa kebenarannya.

Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, manamana anggota DUN yang tidak hadir persidangan dua kali berturutturut tanpa kebenaran Speaker hendaklah mengosongkan kerusinya.

Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain