suria

Empat lelaki Indonesia ditembak mati selepas serang polis

SEREMBAN: Empat perompak yang dipercayai warganegara Indonesia mati ditembak selepas cuba menyerang polis dengan parang panjang dan pistol jenis revolver di sebuah terowong kecil di bawah Kilometer 276.3 Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada pukul 5.20 pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata sebelum itu, penjenayah yang memandu kereta Wira Aeroback bernombor pendaftaran WJP5728 itu ditahan oleh pasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Labu.

"Mereka berhenti tetapi apabila anggota kita keluar dari kereta, penjenayah terus memecut ke arah Nilai dan masuk ke jalan kuari sebelum terlanggar tengah terowong dalam ladang Sime Darby," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penjenayah terbabit kemudian keluar dari kereta untuk menyerang polis di mana salah seorang dari mereka melepaskan dua das tembakan tetapi tersasar akibat pistol jenis revolver .38 itu mengalami kerosakan, katanya.

Polis membalas tembakan menyebabkan keempatempat lelaki maut di tempat kejadian dan menjumpai dua bilah parang panjang, satu senjata seperti sabit, sepucuk pistol revolver .38 dan satu alat pengumpil, katanya.

Penjenayah terbabit sengaja mensasarkan perkampungan Melayu di kawasan Labu dan Nilai memandangkan keadaan rumah yang berjauhan dan terpencil, katanya.

Pada 21 Ogos, 1.45 pagi, mereka menyamun RM5,000 termasuk komputer, telefon dan jam dari sebuah rumah di sini dan 40 minit kemudian merompak RM1,500 dari sebuah lagi rumah penduduk tempatan, katanya.

Katanya polis juga mendapati kereta yang digunakan juga telah dicuri dari kawasan komersil Terminal 2 di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Mohd Zaki Masroh berkata seorang pelanggan kedai bistro di Lukut hampir maut apabila perompak yang menggunakan sepucuk pistol yang sudah rosak terlepas tembakan.

"Hasil siasatan kita dapati peluru dalam pistol tersebut sudah berada di dalam "chamber" (ruang peluru) terlalu lama mengakibat berlaku misfire (terlepas tembakan)," katanya kepada pemberita.

Pelanggan tersebut hanya cedera ringan manakala enam lagi pelanggan dan pemilik bistro selamat dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1 pagi tadi, katanya.

Polis sedang memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian itu yang menyaksikan kerugian RM40,000 melibatkan wang tunai, jam tangan Rolex dan telefon bimbit milik kedai dan pelanggan, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain