suria

Dua perompak larikan wang tunai RM750,000

KUALA LUMPUR: Dua perompak bertopi keledar melarikan wang tunai berjumlah hampir RM750,000 dalam satu rompakan di sebuah bank di Puchong Perdana, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata dua perompak dalam lingkungan umur 30 tahun bersenjatakan dua pucuk Revolver memasuki bank itu pada pukul 1.50 tengah hari ketika lebih 10 orang pelanggan sedang berurusniaga.

"Salah seorang perompak merampas sepucuk senapang patah milik seorang pengawal keselamatan yang kebetulan diletakkan di dalam bank itu manakala seorang lagi perompak melepaskan satu das tembakan amaran mengenai siling bank berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata suspek mengugut untuk menembak salah seorang pekerja bank jika enggan menyerahkan sejumlah wang yang diminta dari laci simpanan wang. "Kirakira 10 minit kemudian, perompak melarikan diri bersama senapang patah milik pengawal keselamatan dengan menaiki sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan bank itu," katanya.

Katanya sebelum beredar dengan kenderaan itu, perompak terbabit melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang kebetulan menghalang laluan mereka, sebelum seorang lagi suspek melemparkan senapang patah yang dirampas ke tengah jalan.

Zainal Rashid berkata mangsa yang cermin keretanya ditembak tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis kini sedang mengenal pasti perompak itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain