suria

Shahrizat nasihat Kartika pohon semakan atau kemuka rayuan

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menasihatkan peragawati sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat kerana kesalahan meminum arak, supaya memohon semakan atau mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

"Saya menasihati Kartika untuk memohon semakan (revision) ataupun merayu (appeal) hukuman ini bukan sahaja untuk kepentingan beliau dan keadilan dilaksanakan, tetapi keputusan ini akan mewujudkan satu precedent yang tidak sihat dan memberi gambaran bahawa negara Malaysia mengamalkan satu sistem Syariah yang amat menggerunkan terutama untuk kaum wanita.

"Walhal sistem perundangan Syariah di Malaysia jika dilaksanakan mengikut semangat syiar Islam adalah amat adil dan saksama tanpa mengira gender," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu atas kesalahan meminum arak di sebuah hotel di Cherating tahun lepas.

Dia akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor esok untuk ditahan selama seminggu sebelum menjalani hukuman sebat di situ.

Shahrizat berkata beliau merujuk kes tersebut bukan kerana pesalah adalah seorang wanita tetapi sama ada hukuman maksimum yang telah dikenakan adil dan mengikut semua peraturan perundangan Syariah.

"Tiada sesiapa yang mempertikaikan bahawa adalah suatu kesalahan menurut Syariah untuk meminum arak.

"Namun, pandangan umum adalah hukuman maksimum iaitu denda RM5,000 dan sebat sebanyak enam kali tidak dapat mencapai matlamat untuk mendidik pesalah," katanya.

Beliau berkata selain itu, pelbagai isu dan soalan prosedur perundangan telah dibangkitkan berhubung pelaksanaan hukuman kes itu, terutama tentang isu sebat ke atas pesalah. BERNAMA