suria

Rakyat kini perlu rasional nilai kerajaan pimpinan pembangkang - Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menilai dengan lebih rasional berhubung ketidaksefahaman yang semakin terserlah di kalangan pemimpin parti-parti pembangkang mentadbir negeri yang dimenangi mereka.

Najib berkata kes terbaru yang melibatkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR, membuktikan pakatan pembangkang kini tidak sehaluan dalam banyak perkara.

"Kerajaan Kedah masih lagi mentadbir sebab ia ada majoriti lagi di dalam Dewan (Undangan) Negeri, tapi kehilangan seorang exco ini boleh membawa pelbagai pertanyaan dan persoalan mengenai kewibawaan kerajaan negeri Kedah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen kepada para peserta Rancangan Tanah Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanamam Semula Komersil (TSK) Risda 2009, di sini, pada Ahad.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mohd Radzhi yang juga exco kerajaan negeri Kedah yang keluar PKR berikutan pembubaran PKR bahagian Padang Serai yang turut menyaksikan Pemangku Ketua Bahagian, Jamaludin Abu Hassan, juga bertindak meninggalkan parti berkenaan.

Ketika mengulas perkara itu, Najib berkata: "Saya belum tengok lagi dia punya kenyataan sepenuhnya tapi pada prinsipnya dia telah membuat keputusan sendiri dalam hal ini tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak terutama sekali pihak Umno, dia telah buat keputusannya dan kesedaran yang dia hilang kepercayaan terhadap parti PKR, dan dan sanggup keluar PKR dan jadi Adun bebas, maknanya kita kena hormati keputusannnya sebagai wakil rakyat,".

Ditanya akan berlaku dakwaan tindakan itu didalangi pihak Umno, Najib berkata: "Kita dah jangkakan (dakwaan sedemikian), tapi itu keputusan dia sendiri," kata Najib.

Najib berkata rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap parti pembangkang yang mentadbir negeri-negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum ke-12 lepas.

"(Kes terbaru) Ini adalah antara bibit-bibit ketidaksefahaman dalam kerajaan pembangkang, (baru) setahun sahaja (mentadbir) nampaknya mereka hadapi kesukaran untuk mentadbir di negeri yang mereka menangi kerana begitu banyak tidak ada persefahaman antara satu sama lain," katanya.

Ditanya perkembangan terbaru ini boleh memberi kesan positif kepada Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Permatang Pasir pada Selasa ini, Najib hanya tertawa: "Tunggulah, tengok dulu, tapi rakyat boleh menilai atas perkara ini,".

Najib menegaskan kerajaan Barisan Nasional masih mampu untuk mengawal wakil rakyatnya namun parti pembangkang kini bukan sahaja tidak boleh mengawal wakil rakyatnya, malah ketidaksefahaman dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan ideologi dan prinsip perjuangan mereka semakin goyah.

"Kita lihat mereka tidak bersefahamanan dalam pelbagai isu yang ada sangkut paut dengan ideologi dan prinsip, nampaknya percanggahan itu semakin melebar dan semakin mendalam," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata tindakan Mohd Radzhi keluar dari PKR bukanlah disebabkan Umno yang mendalangi perkara berkenaan.

"Biarlah rakyat menilai sendiri apa yang sedang berlaku dalam kerajaan Kedah, dia (Mohd Radzhi) merupakan seorang exco, seorang yang berjawatan, dan dia meletakkan jawatan, jadi rakyat perlulah melihat perkara ini secara objektif," katanya. BERNAMA

Artikel Lain