suria

Murugiah tidak bercadang tubuh parti baru

KUALA LUMPUR: Senator Datuk T. Murugiah tidak bercadang menubuhkan parti baru atau membawa penyokongnya menyertai pembangkang walaupun beliau kini tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Parti Progresif Penduduk (PPP).

Murugiah yang merupakan bekas anggota Majlis Tertinggi parti itu, berkata beliau bersama penyokongnya masih bergerak aktif atas tiket kelab penyokong Barisan Nasional (BN).

"Penyokong-penyokong saya bersetuju untuk terus bersama saya, maka kami tak ada niat untuk menubuhkan parti baru ataupun menyokong pembangkang, kami akan teruskan usaha bersama BN dengan menyatakan sokongan kepada kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami akur dan terima keputusan ROS (Pendaftar Pertubuhan), sekarang ini sementara kami membuat rayuan, saya sudah beri arahan kepada mereka, semua aktiviti akan berjalan atas tiket kelab penyokong BN, di Permatang Pasir pun kami buka bilik gerakan kelab penyokong BN," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Murugiah sebelum ini dipecat daripada anggota Majlis Tertinggi parti oleh Lembaga Disiplin PPP kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan. Murugiah turut mengisytihar dirinya sebagai 'presiden baru PPP' selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Putrajaya pada Mei lepas.

Beliau yang ditemui pada sambutan perayaan Vinayagar Sathurthi di Kuil Kottum Mallai Pillayar di sini turut ditanya mengenai kedudukannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya serah semuanya kepada Perdana Menteri kerana ini adalah hak mutlak Perdana Menteri dan beliau faham saya banyak berjasa kepada negara sejak dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya bekerja siang malam untuk selesaikan masalah rakyat," katanya.

Sementara itu, konvoi 200 lori sempena sambutan perayaan Vinayagar Sathurthi yang berlangsung di ibu negara hari ini mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records sebagai perarakan lori terbesar di Malaysia.

Lori yang membawa patung Dewa Ganesha itu memulakan perjalanan pada pukul 7.30 pagi di Kuil Sri Maha Mariammam Damansara dan bergerak menuju enam buah kuil di sekitar Kuala Lumpur dalam tempoh 12 jam. BERNAMA

Artikel Lain