suria

Pengarah syarikat didakwa ubah wang haram RM11 juta

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap 47 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM11 juta.

Raja Noor Asma Raja Harun, 47, dari Taman Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur, didakwa membuat dan menerima pelbagai bayaran antara RM5,000 dan RM3 juta daripada beberapa syarikat termasuk Sistem Televisyen Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa bank sekitar Rawang dan Gombak, antara 17 Dis 2008 dan 8 Julai lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbi Hasan menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam tertuduh, Datuk Muhammad Shafee menangguhkan wang jaminan sehingga Selasa depan.

Hasbi menetapkan Selasa depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya G. Jaya Prem dan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Jeremy Phang memindahkan kes itu bagi dibicarakan bersama dua lagi kes lain membabitkan tertuduh.

Sebelum ini Raja Noor Asma didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen membabitkan pelaburan RM100 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.3 juta. BERNAMA

Artikel Lain