suria

Lima bahan letupan, 38 senjata tajam pelbagai jenis dirampas

KUALA LUMPUR: Polis merampas lima bahan letupan jenis emulex bersama empat bahan peletus bom serta 38 senjata tajam pelbagai bentuk termasuk parang panjang dan kapak di kawasan penempatan haram dalam hutan Bukit Kiara View, Desa Sri Hartamas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata penemuan kesemua bahan letupan dan senjata tajam itu adalah susulan daripada operasi pendatang asing tanpa izin (Ops PATI) yang dilakukan semalam di kawasan itu kira-kira pukul 5 petang.

"Operasi semalam kita terpaksa tamatkan awal (7 malam) kerana hujan lebat tambahan pula lokasi itu berada dalam hutan. Jadi kita sambung (operasi) petang ini kira-kira 3 petang tadi untuk pemeriksaan lanjut dan menemui semua bahan letupan dan senjata tajam itu," katanya kepada pemberita di Balai Polis Travers di sini semalam.

Katanya kes itu akan disiasat di bawah Seksyen Akta Bahan-bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Operasi yang terdiri daripada 38 anggota polis dan 16 anggota RELA itu diketuai Ketua Balai Polis Travers Cif Inspektor Edmond Wong Meng Tian.

Seramai 23 orang warga Indonesia termasuk lapan wanita diperiksa dan menahan seorang lelaki dan seorang wanita, masingmasing berumur 30an, kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. BERNAMA

Artikel Lain