suria

Dua lelaki ditahan, dadah bernilai RM30,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah bernilai hampir RM30,000 dalam dua operasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada hari Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) ACP Kang Chez Chiang berkata dalam operasi pertama seorang lelaki berumur 30 tahun ditahan di sebuah pusat membeli belah di sini, Selasa lepas.

"Lelaki itu diberkas pada pukul 7.30 petang di tempat letak kereta pusat membeli-belah terbabit. Hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan kita menjumpai kunci kereta dalam poket seluar suspek," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Polis kemudian memeriksa kenderaan suspek yang turut diletakkan di tempat letak kereta itu.

"Semasa suspek ditahan dia tidak berada dalam kereta. Bagaimanapun kita berjaya mengesan kereta Proton Putra berdasarkan kunci yang ditemui pada suspek," katanya.

Polis kemudian menemui 19,900 biji pil eramin 5 yang disembunyikan dalam bonet kereta berkenaan yang dianggarkan bernilai RM21,000.

"Kita percaya suspek yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang, aktif mengedar dadah berkenaan di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas. BERNAMA

Artikel Lain