suria

Dr Subramaniam bergantung kepada rekod khidmatnya untuk menang Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, satu-satunya wakil kaum India di Kabinet, merupakan calon pilihan untuk memenangi satu daripada tiga jawatan naib presiden MIC pada pemilihan parti pada 12 Sept.

Menurut sumber dalaman parti itu, pakar kulit berumur 56 tahun itu yang juga Setiausaha Agung MIC heboh dikatakan akan meraih undi yang secukupnya daripada 1,464 perwakilan MIC untuk menduduki tempat pertama dalam perlumbaan kerusi naib presiden itu.

"Sebagai satu-satunya suara masyarakat India di dalam Kabinet, Dr Subramaniam dijangka tidak menghadapi masalah mendapat jawatan naib presiden," kata seorang perwakilan yang enggan memberikan nama semasa ditemui semasa proses pencalonan parti di sini Sabtu ini.

Dr Subramaniam adalah di antara lapan calon yang bersaing bagi jawatan naib presiden.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang mencalonkan beliau bagi jawatan itu, Dr Subramaniam berkata beliau kini mengharapkan rekod perkhidmatannya sebagai seorang menteri kabinet dan setiausaha agung MIC.

Katanya beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih beliau ke jawatan itu.

Walaupun mendapat sokongan di kalangan parti, Dr Subramaniam tidak mengambil mudah perkara itu dan telah mengadakan pertemuan dengan perwakilan di seluruh negara.

Anggota Parlimen Segamat dan bapa kepada tiga orang anak itu berkata beliau berterima kasih kepada Presiden parti Datuk Seri S.Samy Vellu kerana menyokong beliau sebagai calon bagi jawatan itu.

Dr Subramaniam memainkan peranan penting dalam penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi kaum India dengan kementerian beliau sebagai sekretariat.

Sebelum ini, Samy Vellu berkata parti itu akan mengekalkan Dr Subramaniam sebagai wakil dalam Kabinet selepas pemilihan MIC. BERNAMA

Artikel Lain