suria

Wanita baru sebulan kahwin ditemui mati dibunuh

LUMUT: Seorang wanita Myanmar berusia 18 tahun, yang baru berkahwin sebulan lalu, ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah sewanya di Taman Sejati 2, Sitiawan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Othman berkata, polis menemui mayat wanita itu dalam sebuah bilik di rumah itu selepas menerima laporan dari suami mangsa pada pukul 3 petang.

"Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mohd Jamil berkata mangsa bersama suaminya, yang juga seorang Myanmar, tinggal di rumah sewa berkenaan dengan lima lagi lelaki rakyat negara itu.

Ketika kejadian, suami mangsa, seorang pendawai elektrik dengan sebuah syarikat di sini, telah pergi bekerja dan mangsa disedari mati oleh seorang rakan rumah sewa itu yang ketika itu baru pulang dari bekerja lalu memaklumkan kepada suami mangsa, katanya.

Polis kemudian menahan reman enam lelaki termasuk suami mangsa untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Jamil berkata polis marin dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menemui mayat seorang nelayan Tan Swee Chai, 53, yang hilang selepas bot tundanya dipukul ombak ketika mengangkap ikan di perairan Pulau Katak di sini Selasa lalu.

Katanya pasukan mencari dan menyelamat itu menemui mayat mangsa, yang berasal dari Sungai Tiang, Bagan Datuk, Perak, pada pukul 4.40 petang ini di kawasan berhampiran tempat kejadian.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa bersama rakanya Tan Hock Si, 42, sedang menangkap ikan apabila bot mereka dipukul ombak kuat menyebabkkan bot berkenaan tenggelam.

Bagaimanapun, Hock Si berjaya diselamatkan oleh seorang nelayan lain yang ketika itu berada berhampiran bot mangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain