suria

Pesara didenda guna lambang tanpa kebenaran Dewan Diraja Selangor

SHAH ALAM: Seorang pesara didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki 42 keping kad nama berwarna kuning yang tertera lambang negeri Selangor tanpa kebenaran Dewan Diraja Selangor.

Majistret Norkamilah Aziz mengenakan denda itu setelah Raja Masron Raja Ali Shah, 55, dari Kampung Jawa, Klang, mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki kad atas nama "Y.M Raja Masron Raja Ali Shah" menggunakan lambang negeri Selangor Darul Ehsan untuk tujuan keuntungan peribadi.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di Aras 5, Bangunan Umno Selangor, di sini pada 12.05 tengah hari 16 Mei 2007. Raja Masron, yang tidak diwakili peguam, telah membayar denda itu.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 3 (1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1962 dan dihukum mengikut Seksyen 5 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000.

Mahkamah diberitahu bahawa Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamed Munir Bani, mengesahkan bahawa Raja Masron tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Dewan Diraja Selangor untuk menggunakan lambang itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh ASP Mohd Ismail Rodzi Mohd Isa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain