suria

Pengundi muda dan atas pagar mula terima BN

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) mendapat maklum balas yang positif daripada golongan pengundi muda dan atas pagar sejak jentera parti itu melancarkan gerakan mendekati kumpulan berkenaan sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata hasil gerak tumpu jentera terhadap golongan berkenaan sejak tiga hari lepas, terdapat tanda-tanda positif mereka sudah mula menerima BN.

Beliau berkata parti akan memberi tumpuan khusus dengan beberapa strategi bagi meningkatkan sokongan pengundi muda dan pengundi atas pagar ini.

"Kita akan mengatur lebih banyak perjumpaan dengan mereka bagi memberi penjelasan dan berbincang mengenai masa depan generasi muda yang bertanggungjawab menentukan pemimpin negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama 24 ketua cawangan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, di sini semalam.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata pilihan raya kecil itu juga boleh dijadikan panduan bagi BN menilai sejauh mana gagasan 1Malaysia diterima dan difahami oleh masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

"Jika ia dapat diterima baguslah. Bagaimanapun jika sebaliknya, kita perlu memikirkan pendekatan lain bagi menarik golongan berkenaan untuk terus menyokong gagasan itu serta BN," katanya.

Pada pilihan raya kecil berkenaan, Barisan Nasional (BN) yang diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, akan menentang Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Seramai 20,290 pemilih di kawasan itu layak mengundi bagi memilih pengganti wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS yang meninggal dunia pada 31 Julai lepas akibat sakit jantung.

Daripada jumlah itu, 72.43 peratus merupakan pengundi Melayu, 25.86 peratus Cina, 1.64 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain