suria

KPT timbang perkenal program baru pra-universiti dinamakan Asasi Teknikal

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi sedang menimbang cadangan untuk memperkenalkan satu lagi program pra-universiti yang akan dikenali sebagai Asasi Teknikal, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Khaled, cadangan tersebut telah ditimbulkan ketika beliau mengadakan sesi taklimat dengan pihak pengurusan dan staf akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) Isnin lalu.

Bercakap dalam satu pertemuan eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya hari ini, Mohamed Khaled menambah, UTEM mengemukakan cadangan tersebut memandangkan mereka menghadapi masalah kekurangan pelajar teknikal yang memohon untuk mengikuti kursus-kursus yang bersifat teknikal di universiti berkenaan.

“Salah satu cadangan untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mewujudkan program Asasi Teknikal sepertimana program pra-universiti yang lain seperti Asasi Sains, Asasi Undang-Undang dan juga Program Matrikulasi,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak kementerian menyifatkan cadangan tersebut adalah satu cadangan yang munasabah dan baik dan UTEM telah diminta supaya menyediakan kertas kerja bagi membolehkan program tersebut dijalankan di universiti berkenaan.

Katanya, dengan adanya program baru ini, lepasan-lepasan sekolah menengah teknik dan vokasional mempunyai peluang yang lebih baik untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah pertama dalam bidang teknikal di UTEM tanpa perlu melalui program diploma mahupun tingkatan 6 sebagaimana yang menjadi amalan sekarang.

UTEM ditubuhkan pada tahun 2000 dengan nama Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM). Mulai 1 Febuari 2007, statusnya telah dinaiktarafkan sebagai sebuah universiti penuh dengan nama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM). Hari ini UTEM mempunyai 6010 pelajar termasuk 28 orang pelajar antarabangsa. Sementara jumlah pelajar lepasan ijazahnya pula berjumlah 377 dengan 24 orang pelajar antarabangsa.

Di bawah Pelan Perancangan Lima Tahunnya (2008-2012) UTEM meletakkan sasaran untuk melahirkan 3,061 pemegang diploma dalam pengkhususan ICT dan Kejuruteraan Elektrikal dan 6,938 graduan ijazah pertama dalam pengkhususan Pembangunan Perisian (Software Development); Pengurusan Data; Interaktif Media; Komputer, Inteligen Artifisial dan Kejuruteraan Mekatronik.

Di bawah pelan ini juga, UTEM mensasarkan untuk melahirkan 1,447 graduan master dalam bidang Kejuruteraan Perisian; Pengurusan Teknologi dan Teknologi Antara-Rangkaian (Internetworking).

Buat masa ini, UTEM mempunyai 389 orang staf akademik dan disokong oleh 896 orang staf bukan akademik.

UTEM juga kini mempunyai enam buah fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrikal; Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Komputer; Fakulti Kejuruteraan Mekanikal; Fakulti Kejuruteraan Pembuatan; Fakulti Komunikasi dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknopreneur.

Ia juga mempunyai dua buah pusat pengajian iaitu Pusat untuk Pembangunan Manusia dan Bahasa serta Pusat untuk Pengurusan Inovasi dan Penyelidikan.

Dalam pada itu Khaled juga mengumumkan bahawa UTEM telah dianugerahkan status MSC oleh MDEC pada bulan Jun yang lalu dan pengiktirafan ini telah disahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 13 Ogos lalu.

Khaled berkata, dengan pemberian status MSC itu, UTEM akan mendapat kemudahan-kemudahan seperti pengecualian seratus peratus dari cukai pendapatan untuk lima tahun pertama ke atas mana-mana projek berstatus ‘pioneer’; layak untuk memohon geran penyelidikan melalui MSC Malaysia Research & Development Grant Scheme yang mana sejumlah RM85 juta telah diperuntukkan untuk membantu syarikat bertaraf MSC mengkomersilkan produk ICT atau multimedia.

UTEM juga berpeluang mendapat pengecualian duti impot untuk perolehan bahan dan peralatan multimedia; dikecualikan dari had pengambilan tenaga kerja dan kepakaran luar negara serta “knowledge workers”; dikecualikan daripada penapisan internet dan telekomunikasi; mendapat tarif perkhidmatan telekomunikasi yang kompetetif dan berpeluang menggunakan kemudahan “one stop agency” yang terdapat di MDEC untuk mempercepatkan pembangunan keperluan multimedia dan perkembangan teknologi.

Pada masa yang sama Khaled juga memberitahu, UTEM turut berpeluang untuk mendapat dana modal dari infrastruktur kewangan dan insentif yang disediakan melalui MSC dan juga mendapat sokongan MSC untuk menjana serta menarik dana modal kewangan di peringkat global. Begitu juga dengan kemudahan daripada MSC Malaysia Intellectual Property Grant Scheme yang mana skim ini menyediakan subsidi sehingga 70% dari kos awal untuk memfailkan pendaftaran paten dan juga inovasi bagi membolehkan perlindungan harta intelek syarikat berstatus MSC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain