suria

Kastam rampas 581 kg mercun, bunga api bernilai RM15,000

KUALA TERENGGANU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu merampas 581 kilogram mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM15,000 di sebuah rumah di Kampung Padang Midin, di sini semalam.

Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yacub berkata rampasan mercun dan bunga api itu merupakan yang terbesar di Terengganu tahun ini.

"Rampasan mercun dan bunga api itu adalah yang kedua tahun ini, hasil maklumat daripada orang ramai," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata sepasukan anggota daripada Bahagian Pencegahan KDRM negeri, yang diketuai Pegawai Kastam Tinggi, Misdar Kaslan telah membuat serbuan ke rumah berkenaan pada pukul 3.30 petang.

Katanya mercun dan bunga api itu dijumpai di dalam dua bilik di rumah tersebut dan seorang lelaki yang berada dalam rumah berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Azis berkata mercun dan bunga api, yang dipercayai untuk diedarkan kepada penjual-penjual sempena bulan puasa ini, diperoleh dari negara jiran.

"Lelaki terbabit dipercayai telah membuat "kerja" ini sejak beberapa bulan lepas dan menggunakan kenderaan termasuk lori membawa sayur untuk menyeludup bahan-bahan bakar tersebut," katanya.

Beliau berkata lelaki tempatan yang berumur 42 tahun dan mempunyai tiga anak berumur antara dua dan tujuh tahun itu, telah dibebaskan dengan jaminan Kastam sebanyak RM3,000 selepas diambil keterangan.

Pada awal bulan ini, Azis berkata pihaknya merampas 482 kilogram mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM12,050 di sebuah rumah di Kampung Seberang Baroh di sini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran, penjualan dan memiliki atau bermain mercun atau bunga api kerana ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Katanya jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain