suria

Wanita Thailand dihukum gantung edar kanabis

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang wanita rakyat Thailand selepas mendapatinya bersalah mengedar dadah jenis kanabis lima tahun lepas.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee berkata beliau mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan kesalahan yang dilakukan Roseedah Cheubong.

Roseedah, 41, yang berbaju kurung merah kelihatan menangis selepas Muhamad Ideres menjatuhkan hukuman itu.

Sebelum itu peguam bela, Zamri Mat Nawang, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap tertuduh yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak yang berumur belasan tahun.

"Tertuduh selepas bercerai telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup. Dia juga kini telah insaf atas perbuatannya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin, bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap apa yang dilakukan tertuduh itu.

Roseedah dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan stesen minyak Mobil di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, pada 7.45 malam 3 Februari 2004 dengan mengedar 1,014 gram kanabis. BERNAMA

Artikel Lain