suria

Wanita China diperintah bela diri atas tuduhan bunuh

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang wanita warganegara China membela diri terhadap tuduhan menculik dan membunuh seorang budak lelaki berumur tujuh tahun, Ho Ping, yang mayatnya ditemui pada 21 Mei 2006 di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Manjung, Perak.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 1 dan 2 Sept ini bagi tertuduh, Su Qiaomei, 38, yang diwakili peguam Leslie Bala membela diri. Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memanggil 27 saksi memberi keterangan.

Su yang berasal dari Fujian, China, sebelum ini dibicarakan bersama abang ipar Ho Ping, Kee Lian Kok atas tuduhan membunuh Ho Ping di Ladang Changkat Meranti, Kampung Baru Manjung, Perak antara pukul 2 dan 3 pagi pada 19 Mei 2006.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa menculik Ho Ping bagi tujuan mendapatkan wang tebusan RM500,000 di No: 91, Jalan SS/4A, Subang Jaya dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pada 18 Mei 2006.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Semakan 1989) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika tidak dihukum mati.

Kee bagaimanapun meninggal dunia pada 18 Mei 2008 dipercayai membunuh diri, di Penjara Sungai Buloh. BERNAMA

Artikel Lain