suria

Syurga: PAS cabar lagi, tunjuk kenyataan penuh Nik Aziz

SEBERANG PRAI: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengambil tindakan undang-undang jika media, yang didakwa salah memetik kenyataan beliau kelmarin bahawa ahli Umno tidak dapat masuk syurga, gagal menyiarkan kandungan penuh pandangannya.

Ia merupakan cabaran kedua daripada PAS pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang bermula kelmarin.

Semalam ia mencabar calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman agar menarik diri daripada bertanding.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, "kami mencabar media-media pro-Umno mendedahkan klip video sebenar Nik Aziz mengatakan 'ahli Umno tak akan masuk syurga itu' jika mereka jujur."

"Kami hendak rakaman penuh apa yang diperkatakan oleh Nik Abdul Aziz, jika tidak kami akan mengambil tindakan undang-undang," katanya.

"Lainlah kalau pihak terbabit berniat membina ikon kebencian ke atas tokoh agamawan Kelantan itu sendiri.

"Saya dimaklumkan juga bahawa Tuan Guru Nik Aziz mahu menyaman," kata Salahuddin pada sidang media harian dekat sini pagi tadi. Katanya, Nik Aziz telah pun menafikan berita tidak benar 'ahli Umno tak akan masuk syurga'.

Semalam Nik Aziz menjelaskan beliau tidak bermaksud ahli-ahli Umno tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata kelmarin.

Menteri Besar Kelantan itu menafikan beliau menyebut anggota Umno tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.

"Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli Umno. Ahli Umno dan penyokong Umno lain, dua perkataan berbeza," kata beliau semalam.

Nik Aziz berkata, mana-mana umat Islam yang mengasingkan iman dengan Islam tidak akan masuk syurga.

"Usaha Umno nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala," katanya.

Artikel Lain