suria

Susulan kapal terbakar: APMM aktifkan Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) telah mengaktifkan Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat berikutan kejadian perlanggaran dua kapal dagang di perairan Selat Melaka malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam APMM Faridah Shuib berkata pihaknya telah menggerakkan asetnya dari Daerah Maritim (DM) Linggi, DM Pelabuhan Klang dan Stesen Udara Subang sejak lewat malam tadi bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan anak kapal tangki minyak milik MT Formosa Product Brick dan MT Ostende Max di 10 batu nautika barat daya Port Dickson.

"Maklumat awal yang diterima mengatakan kapal tangki MT Formosa Product Brick dengan muatan 58,000 metrik tan minyak naftar yang dalam pelayaran dari United Kingdom ke Singapura telah berlanggar dengan kapal MT Ostende Max yang sedang keluar dari Pelabuhan Port Dickson menuju ke Singapura," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Faridah berkata aset-aset APMM yang terlibat dalam oeprasi itu ialah empat bot kilat iaitu satu dari DM Linggi dan tiga dari Port Klang serta dua helikopter N3 Dauhphin.

Turut terbabit dalam operasi itu ialah Polis Gerakan Marin (PGM) dari Tampoi, sebuah pesawat Unit Udara Polis dan dua dari Jabatan Laut Pelabuhan Klang serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Faridah berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mencari sembilan anak kapal yang masih hilang dan memadamkan saki baki kebakaran kapal itu.

Sebuah bot tunda, Sam Son Mariner turut membantu memadamkan kebakaran di kapal itu sejak pukul 5 pagi tadi, sementara kapal Mv Ostende Max yang tidak mengalami kerosakan teruk diarah merapati Jeti Port Dickson untuk siasatan lanjut, katanya.

Kemalangan berlaku pada pukul 9 malam tadi mengakibatkan kapal tangki minyak, MT Formosa Product Brick terbakar.

Enam belas anak kapal termasuk kapten kapal itu berjaya diselamatkan. BERNAMA

Artikel Lain