suria

Polis tumpaskan kumpulan curi kenderaan mewah

JOHOR BAHARU: Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita yang disyaki anggota kumpulan curi kenderaan mewah dan membuat cukai jalan palsu di bandaraya ini dalam serbuan di Taman Bukit Indah dan Bandar Seri Alam pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam serbuan pertama di Taman Bukit Indah pada 10.45 pagi 9 Ogos lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 20an yang menggunakan kereta jenis Kia Caren bernombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Klang, Selangor.

"Susulan penahanan tersebut, polis kemudian menahan dua lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, kira-kira pukul 4.45 petang dan merampas tiga buah kereta jenis Nissan Cefiro, Mitsubishi Colt dan Toyota Wish yang dilaporkan hilang di Nusajaya, pusat bandaraya dan Taman Johor Jaya," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis daerah Nusajaya, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata polis turut merampas pelbagai aksesori kenderaan, enam keping cukai jalan palsu, dua komputer dan sebuah pencetak untuk membuat cukai jalan palsu, daripada serbuan kedua itu.

Turut dirampas, katanya adalah pelbagai anak kunci, peralatan mencuri kenderaan, 23 keping abjad untuk membuat nombor plet palsu serta lapan keping nombor plet kenderaan yang lengkap.

Beliau berkata hasil pendedahan kesemua suspek, polis kemudian menemui sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC, di Taman Pelangi Indah, kira-kira pukul 4.30 petang 10 Ogos lepas, yang dilaporkan hilang di perumahan berkenaan dan Nusajaya, sebelum menemui sebuah kereta jenis Honda Civic di Taman Bukit Indah, keesokan harinya.

"Pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang terlibat positif mengambil dadah jenis syabu.

"Kedua-dua wanita itu terlibat dalam mencetak cukai jalan palsu," katanya.

Abdul Aziz berkata empat daripada mereka mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan kelima-lima mereka kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain