suria

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR tunggu respon AG

SEBERANG PRAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini meneliti implikasi perundangan sama ada perlu mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah kosong, sekali gus memanggil pilihan raya kecil.

Oleh kerana kes itu, yang pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini, melibatkan aspek perundangan negeri dan persekutuan, SPR memerlukan masa untuk mengkaji secara mendalam, kata Timbalan Pengerusi suruhanjaya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Kami sedang mengkaji perkara ini. Penasihat undang-undang SPR dan Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dari aspek perundangan.

"Kita tunggu dulu maklum balas, tunggu dulu," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Kata beliau, SPR tidak menetapkan masa khusus bagi Jabatan Peguam Negara untuk memberikan maklum balas.

"Kita tidak mahu terburu-buru dalam soal ini. Kami mahu betul-betul berpuas hati kerana ini melibatkan aspek perundangan," katanya lagi.

Wan Omar memberitahu, SPR yang berhak untuk mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi.

"Saya dimaklumkan surat Speaker sudah ada di pejabat (Putrajaya). SPR yang akan mengisytiharkan sama ada wujud kekosongan atau tidak.

"Kami akan mengadakan mesyuarat (khas) sebaik sahaja maklum balas diterima daripada penasihat undang-undang dan Peguam Negara," katanya lagi.

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika wujud kekosongan.

Wan Ahmad mengulas laporan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif kemungkinan digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)tanpa kebenaran Speaker.

Semalam, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan Ahad lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi.

Lawannnya, Ismail Wan The dari PAS menerima 7,665 undi.

Artikel Lain