suria

Mayat kanak-kanak lemas ditemui terapung pada sebatang kayu

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, yang hilang setelah terjatuh ke dalam Sungai Subang dekat Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras di sini petang kelmarin, ditemui mati pagi semalam.

Mayat Muhammad Nafis Razak ditemui terapung oleh bapa saudaranya Rashid Husin, 30, pada pukul 11.30 pagi pada sebatang kayu yang tersangkut di sungai itu kira-kira empat kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam, Shahrul Kamar Johari ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak itu.

Anak sulung daripada dua beradik itu lemas selepas terjatuh ke dalam sungai itu pada pukul 5.15 petang kelmarin ketika bermain bersama rakanrakannya berhampiran sungai yang terletak di belakang rumah ibu saudaranya.

Menurut ibu saudara mangsa, Fauziah Yahya, 22, Muhammad Nafis ditinggalkan ibunya, Fatimah Samsudin, 32, di rumah seorang lagi kakaknya untuk pergi ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kandungan manakala adik mangsa berumur dua tahun ditinggalkan di rumahnya. "Selepas balik dari hospital, dia (Fatimah) bertanyakan mengenai anaknya kepada seorang kanak-kanak yang bermain dengan Muhammad Nafis dan budak itu memberitahu yang anaknya (Muhammad Nafis) telah terjatuh ke dalam sungai," kata Fauziah ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini semalam.

Bapa mangsa Razak Husin, 36, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan anaknya itu ialah pada Isnin lepas sebelum pulang ke Kelantan kerana berniaga.

"Setiap hari saya akan telefon anak dan isteri bertanyakan khabar. Kali terakhir saya bercakap dengan dia ialah pada pukul 10 malam Ahad dan dia (Muhammad Nafis) ada minta belikan mainan. Saya reda dengan apa yang terjadi dan saya terima ketentuan Ilahi," katanya.

Sebaik menerima panggilan daripada isterinya berhubung kejadian itu semalam, beliau bergegas pulang dan tiba awal pagi tadi, kata Razak.

Jenazah Muhammad Nafis dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras di sini semalam. BERNAMA

Artikel Lain