suria

Masuk syurga atau neraka hak mutlak Allah - Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk syurga atau akan ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin. Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu. Katanya, keputusan itu telah diperkenankan oleh Majlis RajaRaja dalam Mesyuarat RajaRaja Kali ke188 pada Mac 2001 dan menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun membincangkan isu itu sejak tahun 2000 lagi.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lepas bahawa penyokong atau anggota UMNO tidak akan masuk syurga.

"Sehubungan itu saya ingin menasihatkan umat Islam terutama kepada mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Islam supaya berhatihati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengeliru dan memecahbelahkan umat Islam.

"Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan yang aneh, jauh daripada kebenaran dan boleh menyesatkan kita," katanya. BERNAMA

Artikel Lain