suria

Mahkamah benar permohonan kakak bagi bedah siasat kedua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan kakak kepada seorang lelaki, yang mati dalam tahanan polis pada 16 Julai lepas, bagi bedah siasat kedua dilakukan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan R. Ganga Gowri, 32, untuk bedah siasat kedua dilakukan ke atas R. Gunasegaran, 31, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).

Mohamad Zabidin turut memerintahkan salinan laporan bedah siasat pertama yang dilakukan Hospital Kuala Lumpur (HKL) diserahkan kepada peguam pemohon dalam tempoh dua minggu mulai hari ini.

Beliau berkata mahkamah menolak permohonan Ganga Gowri untuk semakan kehakiman terhadap tindakan koroner kerana pakar kematian yang melakukan bedah siasat terhadap Gunasegaran itu mematuhi prosedur mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

Mohamad Zabidin juga menolak permohonan bagi mendapatkan semua kenyataan beramaran yang dicatatkan polis mengikut Seksyen 112 kanun itu, tetapi membenarkan dokumen lain yang berkaitan kepada pemohon. Mahkamah juga memerintahkan satu inkues diadakan segera bagi menentukan punca kematian Gunasegaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan bagi bedah siasat kedua memandangkan ia dibenarkan mengikut undang-undang.

Gunasegaran meninggal dunia dalam tahanan polis selepas dua jam beliau ditahan di lokap ibu pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan penyalahgunaan dadah.

Mayat Gunasegaran yang ditempatkan di Rumah Mayat HKL tidak dituntut.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Ganga Gowri, M. Visvanathan memberitahu Bernama bedah siasat itu akan dilakukan pada Khamis oleh patologi Dr Prashant Naresh Samberkar di UMMC. BERNAMA

Artikel Lain