suria

Lelaki peras ugut parti bertanding di Permatang Pasir diberkas

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dipercayai cuba memeras ugut sebuah parti yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Permatang Pasir.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki berkenaan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

"Pada Ahad lepas lelaki berkenaan bersama sekumpulan lelaki dipercayai telah pergi ke markas parti itu dan meminta wang perlindungan daripada mereka.

"Kumpulan dipercayai samseng itu meminta parti politik terbabit menyerahkan sejumlah wang jika mahu keselamatan mereka di markas berkenaan terjamin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ayub berkata penyokong parti berkenaan yang bimbang tentang keselamatan mereka telah membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan lelaki tersebut pada sebelah malam kirakira sejam selepas kejadian ugutan berkenaan," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Ayub juga berkata polis berharap keadaan sepanjang kempen di sekitar Permatang Pasir yang kini terkawal akan berlanjutan sehingga hari pengundian 25 Ogos ini. BERNAMA

Artikel Lain