suria

Kedudukan Murugiah sebagai Timbalan Menteri ditentukan PM

PUTRAJAYA: Kedudukan Senator Datuk T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau (Perdana Menteri) yang menentukan kedudukan sesiapa di dalam Jemaah Menteri, sama ada dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan ROs) dan sebahagian yang disebutkan (iaitu maklumat yang) dihantar oleh Presiden PPP (Datuk M.Kayveas).

"Itu perkara yang telahpun disahkan. Perdana Menteri akan membuat keputusan yang sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri Buku Evolusi Kepimpinan karya Profesor Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.

Minggu lalu, Datuk M. Kayveas diisytiharkan sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah selepas siasatan mendalam dilakukan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata siasatan juga mendapati pemecatan keanggotaan Senator Datuk T. Murugiah adalah mengikut perlembagaan parti.

Ketika ditanya berhubung pekeliling kerajaan negeri Selangor untuk tidak membenarkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada menemuduga wakil negeri itu di luar pejabat masing-masing, Muhyiddin berkata Peguam Negara Tan Sri Gani Patail telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan ia perlu digunakan sebagai pandangan daripada kerajaan.

"Saya tidak fikir itu tidak boleh menghalang mereka (pegawai SPRM) daripada melaksanakan tugas mereka dalam soal untuk menangani isu rasuah," katanya.

Berhubung satu perkara yang dibangkitkan di dalam laman web bahawa Kabinet telah membuat keputusan untuk menggugurkan ruang bangsa dalam borangborang, Muhyiddin berkata telah ada perbincangan berhubung perkara itu tetapi keputusan muktamad masih belum diputuskan.

"Ia sedang diteliti," katanya.

Katanya tujuan untuk mengeluarkan ruang itu kerana ada pandangan bahawa ada kemungkinan perlunya bagi kerajaan untuk tidak melihat kepada perkara itu atas asas bangsa.

Muhyiddin berkata keputusan berhubung perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

Ketika ditanya pandangannya berhubung laporan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada SPRM terhadap beliau berhubung dakwaan salahguna harta kerajaan (helikopter tentera) untuk kegunaan peribadi, Muhyiddin berkata ia tidak menakutkan beliau sama sekali dan ia adalah contoh bahawa parti pembangkang telah kekurangan idea.

"Saya lebih suka jika mereka melihat diri mereka sendiri, banyak perkara yang telah dilakukan yang saya fikir, menimbulkan banyak masalah kepada negara.

"Bagi saya, saya okay. Mereka boleh buat laporan pada bila-bila masa, sejumlah laporan, tapi atas asas apa, saya tidak tahu. Terpulang kepada mereka," katanya.

Ditanya sama ada menteri lain perlu membuat pengisytiharan jika ingin menggunakan jet Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Muhyiddin berkata : "Saya tak pasti. Cumanya dalam keadaan tertentu memang ada peraturannya, dibolehkan, jika disebabkan tugas-tugas dan sebagainya.

"Sebab biasanya memang dibayar bukan percuma. Kadangkadang ada keperluan tertentu, itu dibolehkan," katanya.

Murugiah tidak akan berdamai dengan Kayveas

Sementara itu, Bekas ketua pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk T.Murugiah tidak akan berdamai dengan Presiden parti itu Datuk M. Kayveas.

Sebaliknya, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menimbang semula keputusan mengenai isu kepimpinan parti itu.

Murugiah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengemukakan rayuan kepada ROS dalam tempoh 30 hari.

"Saya tidak puas hati dengan cara mereka katakan bahawa pemecatan saya adalah sah, kerana saya tidak diberi surat tunjuk sebab, tidak dipanggil oleh lembaga disiplin dan saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar berkaitan NGO di sini hari ini.

Rabu lepas ROS mengisytiharkan Kayveas adalah presiden PPP yang sah dan pemecatan Murugiah daripada parti itu sah dan dibuat berdasarkan perlembagaan parti.

Murugiah berkata, beliau telah bertemu Kayveas dua bulan lepas dengan hasrat untuk berdamai tetapi kecewa dengan sikap Kayveas yang disifatkan angkuh dan tidak sopan terhadapnya.

"Beliau memberitahu saya supaya membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya mesti berhadapan dengan majlis tertinggi. Saya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, jadi kenapa saya perlu meminta maaf?" katanya.

Murugiah berkata Kayveas memberitahunya supaya jangan keluar di akhbar dan jangan menjalankan tugas sebagai timbalan menteri. "Beliau cemburu terhadap saya dan takut.

Beliau rasa saya adalah ancaman kepada masa depannya," dakwa Murugiah.

Murugiah yakin beliau mendapat sokongan majoriti masyarakat India di negara ini termasuk mereka daripada parti komponen Barisan Nasional.

Beliau turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasatnya mengenai dakwaan Kayveas terhadapnya dan dakwaan beliau telah merasuah seseorang sebanyak RM74,000 untuk membeli undi dalam pemilihan PPP lepas, tetapi kes itu ditutup kerana tiada bukti.

"Mereka (SPRM) datang ke pejabat saya selama tiga jam dan memeriksa semua fail.

Mereka turut menahan dua pegawai saya untuk satu malam bagi tujuan soal siasat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain