suria

Kaedah penamaan calon baru tahun depan?

SEBERANG PRAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini di peringkat akhir membuat kajian untuk mengguna pakai kaedah baru proses penamaan calon, antara lain bagi menjamin kelancaran hari penamaan calon pada masa-masa akan datang.

Difahamkan kajian ini merangkumi kemungkinan memanjangkan tempoh sesi penamaan calon selain menggunakan sistem pendaftaran penamaan calon berkomputer.

Bagaimanapun ia tidak membabitkan langkah mengehadkan jumlah kehadiran penyokong iringan parti-parti yang bertanding. "Antara kemungkinan yang dikaji ialah melanjutkan tempoh bagi mendaftar dan menyerahkan borang penamaan calon... Banyak model dan sistem yang kita sedang kaji... dari India, Kanada dan sebagainya.

"Kita dapati ada sistem baik dan ada sesuai dengan persekitaran kita, ada yang tidak sesuai, yang sesuai kita cuba kaji untuk digunakan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi.

Kajian ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini, kata beliau.

Ia hanya membabitkan pindaan ke atas Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

"Kaedah yang dikaji ini bakal melibatkan sistem yang effisien, misalnya kita hendak menggunakan sistem komputer... pengumuman status calon bertanding menggunakan sistem komputer. Ini antara perkara yang dikaji sekarang," katanya.

Beliau menjangkakan kajian akan selesai dalam beberapa bulan akan datang.

"Hasil kajian dan pandangan SPR akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan kelulusan. Jika diterima, pindaan ke atas Peraturan Pilihan Raya, hanya membabitkan pindaan prosedur," katanya.

SPR telah mula mempertimbangkan kajian ini sejak pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos 2008 - yang menyaksikan insiden kasar ketika hari penamaan calon.

Lebih 20,000 orang berkumpul ketika hari penamaan calon pilihan raya kecil itu.

Trend kehadiran ramai penyokong iringan dan suasana tegang ketika penamaan calon berlarutan sehingga di Permatang Pasir semalam.

DUN Permatang Pasir terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh.

Proses penamaan calon semalam menyaksikan penurunan dalam jumlah penyokong yang hadir dan kelancaran proses penamaan calon kecuali kekecohan membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gopalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat.

"Semalam proses penamaan lancar dan penyokong-penyokong nampak tenang tetapi kali ini kekecohan berpunca daripada pemimpin politik... ini menunjukkan bahawa seorang individu sudah cukup mencetuskan keadaan yang tegang," katanya.

Sehubungan itu katanya, dalam kajian yang sedang dilakukan SPR tidak akan memperkenalkan had kehadiran penyokong iringan.

"Ini melibatkan soal hak asasi warganegara dan kami tidak mahu meletakkan had jumlah yang harus hadir, tapi SPR akan menggunakan cara dan kaedah lain memastikan kelancaran proses penamaan calon," kata beliau lagi.

Artikel Lain